Polis sahkan NFA kes pengabaian kanak-kanak di taska Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI: Polis mengesahkan satu kes dakwaan pengabaian kanak-kanak melibatkan sebuah taska di Iskandar Puteri sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas siasatan mendapati tiada keterangan kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata laporan polis diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, yang juga ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berumur sekitar setahun pada 19 Januari lepas.

“Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu daripada aspek pengabaian kanak-kanak di bawah jagaan sebuah taska yang terletak di kawasan Iskandar Puteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor dan menerima arahan bahawa kes diklasifikasikan sebagai NFA. “Arahan diterima bahawa kes ini adalah No Further Action kerana tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, satu hantaran tular di Facebook semalam memaparkan gambar kesan kecederaan menyerupai parut pada bahagian belakang badan kanak-kanak terbabit, yang didakwa dialami selepas dibawa pulang dari pusat jagaan pada 17 Januari.

Dalam hantaran itu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan mendakwa beliau dan suaminya menemukan kesan lebam panjang serta kemerahan pada belakang badan anak mereka ketika hendak dimandikan pada waktu malam, sebelum mendapatkan pemeriksaan pakar perubatan yang memaklumkan ia bukan berpunca daripada alahan, sebaliknya berkemungkinan akibat dipukul atau jatuh atas objek panjang.

Wanita itu turut meluahkan kekecewaan selepas dimaklumkan pada 5 Ogos bahawa kes berkenaan ditutup kerana tiada saksi dan tiada bukti kukuh, termasuk kegagalan pihak taska mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan alasan berlaku kerosakan teknikal akibat ribut petir. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *