Polis kesan lelaki terlibat kes pecah amanah cip kasino RM3 juta

KUANTAN: Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan cip kasino bernilai RM3 juta di Genting Highlands, Bentong.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat junket berusia 32 tahun.

Laporan tersebut memaklumkan bahawa cip kasino berkenaan telah dibawa lari ketika berada di sebuah bilik kasino tertutup di pusat peranginan itu.

“Siasatan awal polis telah mengenal pasti seorang suspek merupakan warganegara tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun.

Hukuman tersebut turut termasuk sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong di talian 09-2222222.

Mereka juga boleh mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *