KUALA LUMPUR: Komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin kekal konsisten, bukan hanya melalui kenyataan tegas di pentas antarabangsa tetapi juga dengan memperkukuh kerjasama bersama pemimpin serantau dan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara itu ketika dihubungi Presiden Iran Masoud Pezeshkian, yang mengucapkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza.
Anwar menegaskan bahawa dunia tidak boleh berdiam diri menyaksikan kekejaman yang melampaui batas kemanusiaan di Palestin.
Beliau turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Iran serta komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat bersama.
Presiden Pezeshkian menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Tehran dalam masa terdekat bagi mengeratkan hubungan kedua-dua negara.
Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan mencecah RM2.6 bilion.
Malaysia pula merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global pada 2023. – Bernama