JERTIH: Sebuah jeti pelancongan bernilai RM2.5 juta akan dibangunkan di Tok Bali bagi memajukan sektor pelancongan negeri dan menjadi pintu masuk baharu ke Pulau Perhentian.
Projek ini dimeterai melalui memorandum persefahaman antara Majlis Daerah Pasir Puteh dan Nasrom Travel & Tours Sdn Bhd.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyatakan inisiatif ini selari dengan usaha kerajaan negeri memajukan pelancongan berasaskan komuniti dan alam semula jadi.
“Kerjasama ini diharap dapat menjadikan Pasir Puteh sebagai hab pelancongan timur Kelantan serta mewujudkan peluang pekerjaan,“ katanya.
Jeti ini akan dibina di kawasan seluas 1.6 hektar dengan kerjasama Majlis Daerah Pasir Puteh dan Nasrom Travel & Tours.
Bangunan sedia ada akan diubah suai bagi menggantikan jeti persiaran lama dan dijadikan laluan utama pelancong ke Pulau Perhentian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Hilmi Abdullah, berkata jeti ini dijangka beroperasi Mac depan.
Kemudahan termasuk wakaf, ruang riadah, surau, dan pasar ikan turut disediakan untuk manfaat penduduk setempat.
Aktiviti menyusuri Sungai Semerak sejauh tiga kilometer juga bakal ditawarkan kepada pengunjung. – Bernama