Dua lelaki didenda RM10,000 miliki 90 akaun bank tanpa kebenaran

SEREMBAN: Dua lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengawal dan memiliki 90 akaun bank orang lain tanpa kebenaran.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Jiunn Liang, 28, dan Justine Chung Yin Wei, 25. Mereka juga diarahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di tempat letak kereta berhampiran sebuah bank pada 29 Julai lepas. Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan dengan denda minimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Menurut fakta kes, mereka ditahan oleh polis dari Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan dalam operasi khas berkaitan penipuan dalam talian.

Kedua-duanya disyaki terlibat dalam kegiatan ejen kad ATM dan penipuan dalam talian. Antara barang rampasan termasuk sebuah kereta Honda City, 90 kad ATM, enam telefon bimbit, buku pasport, dan wang tunai.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal. Peguam K. Tharani memohon denda minimum atas alasan kesalahan pertama dan pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

“Anak guam saya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *