AS akan tentukan tarif terhadap Rusia selepas perbincangan di Moscow

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan membuat keputusan pada peringkat seterusnya sama ada akan mengenakan tarif import terhadap Rusia dan rakan dagangnya, lapor agensi berita TASS yang memetik Presiden AS Donald Trump pada Selasa di Rumah Putih.

Ketika ditanya sama ada Washington merancang mengenakan tarif 100 peratus terhadap negara yang membeli minyak dari Rusia, Trump menjawab, “Saya tidak pernah sebut peratusannya, tetapi kami akan bertindak agak tegas dalam hal ini. Kita akan lihat apa yang berlaku dalam tempoh terdekat.”

Beliau menjelaskan bahawa keputusan selanjutnya bergantung kepada hasil rundingan antara utusannya, Steven Witkoff, dengan pegawai Rusia di Moscow pada 6 Ogos. “Anda tahu, mereka ada pertemuan esok. Kami ada mesyuarat dengan Rusia esok. Kami akan lihat bagaimana keputusannya. Kami akan buat penentuan pada masa itu,” katanya.

Media antarabangsa memetik sumber, melaporkan bahawa Witkoff dijadualkan bertemu dengan pemimpin Rusia pada 6 Ogos. Pihak pentadbiran di Washington belum mengumumkan butiran jadual Witkoff setakat ini. – Bernama-TASS

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *