Ahli perniagaan cedera disamun, tiada kaitan kes mahkamah bekas KM

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya menyebabkan seorang ahli perniagaan cedera di tangan dan mulut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata kejadian itu berlaku kira-kira 7.20 pagi.

Sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa sebelum melarikan barangan berharga.

“Suspek melibaskan parang hingga menyebabkan kecederaan sebelum melarikan diri melalui kawasan hutan,” katanya.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.

Shahrulnizam menegaskan kejadian ini tidak berkaitan dengan mana-mana kes mahkamah bekas ketua menteri.

“Ia adalah kes rompak biasa dan tidak ada kaitan dengan kes yang sedang berlangsung,” jelasnya.

Orang ramai diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Sebelum ini, tersebar laporan mengenai serangan ke atas saksi penting dalam kes bekas ketua menteri.

Polis menafikan kaitan antara kedua-dua kejadian tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *