26 warga Bangladesh ditahan di KLIA kerana syarat kemasukan tidak dipenuhi

SEPANG: Seramai 26 lelaki warga Bangladesh telah dihalang memasuki Malaysia selepas gagal memenuhi syarat kemasukan dan menggunakan alasan yang mencurigakan.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 melalui dua penerbangan dari Dhaka.

Pasukan Pemantau AKPS KLIA Terminal 1 berjaya mengesan kumpulan itu berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh lebih awal.

“Kumpulan ini dipercayai merancang kemasukan mereka dengan bantuan pihak tertentu,” menurut kenyataan rasmi AKPS.

Semua individu tersebut dipintas sebaik sahaja tiba di pintu ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1.

Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk pemeriksaan lanjut sebelum diarahkan pulang ke negara asal.

“Kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA Terminal 1 membantu mengekang kemasukan individu berisiko tinggi,” jelas AKPS.

Tindakan tegas ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan sempadan negara.

AKPS menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan keselamatan awam negara terpelihara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *