16 warga Indonesia dihalau pulang cuba masuk Malaysia secara haram

PUTRAJAYA: Seramai 16 warga Indonesia diarah pulang ke negara asal serta-merta selepas cubaan mereka memasuki Malaysia secara tidak sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 semalam digagalkan oleh pihak berkuasa.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua individu terbabit, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun tiba dari Surabaya, Indonesia dengan penerbangan yang menjadikan Hatyai, Thailand sebagai destinasi akhir.

“Hasil soal siasat dan semakan lanjut melalui sistem MyIMMs mendapati 15 daripada mereka disenarai hitam kerana kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan sebelum ini, manakala seorang lagi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,“ menurut kenyataan itu.

Siasatan juga mendedahkan modus operandi mereka adalah menggunakan khidmat ejen atau ‘tekong’ untuk memasuki Malaysia secara transit sebelum cuba menyelinap semula ke negara ini melalui ‘laluan tikus’ di sempadan utara, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Berikutan itu, kesemua mereka telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, AKPS turut memaklumkan bahawa Pasukan Pemantau KLIA2 telah mengesan seorang pegawai penguat kuasa kaunter rujukan yang memberi cop masuk kepada seorang warga India tanpa memenuhi syarat kemasukan (counter setting) yang ditetapkan.

“Pegawai berkenaan telah dirujuk kepada Unit Integriti untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *