Tang Jie-Ee Wei perlu cari titik persamaan – Rexy Mainaky

KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengakui beregu campuran utama negara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei masih bergelut untuk mencari titik persamaan antara mereka terutama ketika beraksi di bawah tekanan tinggi.

Menurut beliau, pasangan yang kini menduduki ranking ketiga dunia itu sukar menerima kesilapan masing-masing, sekali gus memberi kesan kepada rentak permainan mereka.

“Mereka bukan tidak mampu bermain dengan baik, tetapi panik apabila seorang daripada mereka melakukan kesilapan. Namun, jika mereka dapat mengurangkan kesilapan, prestasi mereka pasti akan lebih baik,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pasukan kebangsaan hari ini.

Komen Rexy itu merupakan reaksi terhadap aksi tidak konsisten Tang Jie dan Ee Wei di Terbuka Macau yang berlangsung minggu lalu. Pada kejohanan tersebut, pasangan ketiga dunia itu terlepas peluang meraih gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pertama musim ini apabila terkandas di pusingan separuh akhir kepada gandingan Denmark Mathias Christiansen dan Alexandra Boje.

Mengulas mengenai masalah tersebut, Rexy berkata ia bukan perkara baharu, memandangkan beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah, juga pernah menghadapi situasi yang sama.

Justeru, beliau berharap Tang Jie dan Ee Wei dapat saling menerima kesilapan dan kelemahan masing-masing bagi membantu meningkatkan prestasi mereka. “Situasi ini sama seperti yang dialami Pearly dan Thinaah suatu ketika dahulu, tetapi kini kedua-dua mereka sudah mula menerima perkara tersebut dan menunjukkan aksi yang lebih konsisten. Dalam gelanggang, tiada siapa yang boleh membantu selain rakan sepasukan sendiri,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *