Sektor kewangan kekal asas transformasi Malaysia – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan perlu terus menjadi asas transformasi Malaysia ketika negara melangkah ke fasa pembangunan seterusnya di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menegaskan bahawa sektor tersebut mesti kekal fleksibel, berdaya saing, dan inklusif sambil mengekalkan kepercayaan, integriti, dan ketahanan sebagai teras utamanya.

“Sektor kewangan Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, mengukuhkan asasnya, memperluas akses, dan melaksanakan transformasi digital melalui Pelan Sektor Kewangan 2022–2026. Sumbangannya kepada KDNK dan pembangunan negara sangat signifikan, termasuk dalam pembiayaan PKS, kewangan Islam, pembayaran digital, dan mekanisme perlindungan sosial,” katanya semasa berucap di Minggu MyFintech 2025.

Menurut Amir Hamzah, RMK13 telah mengenal pasti sektor kewangan sebagai salah satu daripada 17 sektor strategik berimpak tinggi yang akan menyokong kepelbagaian ekonomi negara.

“Sistem kewangan perlu berfungsi sebagai pemangkin untuk peralihan ke arah ekonomi berasaskan nilai dengan menggalakkan budaya inovasi. Merealisasikan aspirasi RMK13 memerlukan komitmen tanpa belah bahagi, dasar inovatif, dan kerjasama erat merentas semua sektor masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut menyeru institusi kewangan menjadi contoh teladan dalam melabur untuk pembangunan modal insan, termasuk menggalakkan mobiliti rentas fungsi dan kepelbagaian pasukan.

Amir Hamzah turut menggariskan empat keutamaan strategik (F-I-N-D) iaitu Foster (Menggalak), Invest (Melabur), Nurture (Membina), dan Democratise (Mendemokrasikan).

“Malaysia perlu terus memperluas penyelesaian yang menggabungkan inovasi digital dengan penglibatan komuniti, terutama bagi pekerja tidak formal, ekonomi gig, dan perusahaan mikro. Literasi kewangan juga mesti diberi keutamaan, khususnya dalam kalangan belia, wanita, dan komuniti luar bandar,” katanya.

Minggu MyFintech 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos, dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan beberapa badan lain dengan tema “Ideate, Innovate, Co-create: Shaping the Future of Finance”. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *