Projek naik taraf Jambatan Sungai Pontian Besar bermula Oktober

PONTIAN: Projek menaik taraf Jambatan Sungai Pontian Besar daripada dua lorong kepada empat lorong dijangka bermula seawal Oktober ini, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Projek bernilai RM49 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, meliputi kerja-kerja pembesaran lorong jambatan sepanjang 250 meter termasuk jalan menghala ke jambatan tersebut.

“Kerajaan bersetuju untuk memperbesar Jambatan Sungai Pontian Besar daripada dua lorong kepada empat lorong. Pembinaan akan dimulakan hujung tahun ini,“ kata Ahmad Maslan.

Beliau menambah bahawa urusan tender akan diuruskan pada September atau Oktober, dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dijangka memecah tanah bagi projek ini pada Oktober.

Projek ini penting bagi mengurangkan kesesakan akibat ketidakseimbangan lorong antara dua jambatan utama di daerah tersebut.

Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata jambatan baharu itu akan mempunyai elemen mercu tanda berbentuk kapal layar dan hiasan berkonsepkan nanas di bahagian sisi.

“Elemen ikonik ini diharap dapat menyokong usaha kerajaan menjadikan Pontian sebagai pusat pelancongan utama menjelang Tahun Melawat Johor 2026,“ jelasnya.

Selain itu, Kementerian Kerja Raya sedang memproses permohonan untuk membesarkan Jambatan Parit Semerah dengan anggaran kos RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Dalam perkembangan lain, Projek Pembesaran Hospital Pontian dijadualkan bermula tahun ini dan disasarkan siap dalam tempoh enam bulan, lebih awal daripada jadual asal.

Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim turut mengadakan lawatan kerja di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian serta beberapa lokasi projek lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *