IPOH: Paras air di Empangan Bukit Merah menunjukkan peningkatan daripada 6.03 meter kepada 6.096 meter pada pagi ini, susulan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang menghasilkan hujan di beberapa kawasan semalam.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak, kapasiti simpanan empangan juga meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus).
“Bagaimanapun, status empangan masih di tahap aras henti bekalan pengairan seperti yang ditetapkan dalam Standard Operasi Prosedur (SOP) sedia ada,“ jelas jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
“Peningkatan simpanan ini membantu memanjangkan tempoh bekalan air domestik, tetapi bekalan air untuk pengairan di Rancangan Pengairan Kerian belum boleh dimulakan semula.”
OPA semalam dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia di kawasan terjejas cuaca panas, termasuk Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan sejak Jun lalu.
Fenomena panas dan kering menyebabkan empangan itu mencapai aras henti bekalan pengairan pada 6.096 meter sejak 22 Julai lepas. Mengikut SOP, bekalan air ke sawah dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah. – Bernama