KUALA LUMPUR: Platform jualan digital MyMall mencatatkan nilai jualan sebanyak RM24.3 juta melibatkan 3,407 peniaga berdaftar setakat 31 Julai lalu. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan nilai jualan sebanyak RM15 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
“Usahawan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) digalakkan untuk mendaftar di MyMall dan menggunakan ruang pemasaran secara percuma melalui platform e-dagang ini,“ katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menekankan bahawa inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan membantu usahawan menangani isu tekanan kos hidup sambil mengembangkan perniagaan dalam talian tanpa kos.
Ramanan menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang ingin tahu langkah KUSKOP melindungi usahawan daripada tekanan kos, terutamanya memandangkan platform e-dagang utama seperti Shopee, TikTok dan Lazada telah menaikkan komisen jualan.
Selain MyMall, KUSKOP turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti Program EmpowerPKK, studio TikTok Shop Live Hub hasil kerjasama dengan TikTok Malaysia dan Tekun Nasional, serta perkhidmatan konsultasi perniagaan percuma BizClinic oleh Institut Keusahawan Negara (INSKEN).
“KUSKOP juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan kepentingan usahawan PMKS terpelihara,“ jelas Ramanan.
Beliau menambah bahawa KPDN sedang mengkaji semula perundangan e-dagang bagi memastikan kawal selia perniagaan dalam talian lebih holistik. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula menjalankan kajian semula pasaran bagi ekosistem ekonomi digital untuk mengelakkan kenaikan kos tanpa kawalan. – Bernama