PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu yang dipercayai sebagai pempengaruh media sosial berhubung penyebaran video kontroversi memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor, dengan tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM disita untuk membantu siasatan. Menurut MCMC, video tersebut mengandungi kandungan jelik yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet serta menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk.
“Kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet,“ menurut kenyataan MCMC.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Video berdurasi hampir dua minit itu, yang dimuat naik di TikTok, menunjukkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima. – Bernama