KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) negara, Malayan Tigress, bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2025 menentang Iran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.
Ketua jurulatih Cameron Ng menyatakan persiapan pasukan berjalan lancar dengan latihan intensif dan pemahaman taktikal yang kukuh.
“Saya rasa persiapan untuk kem ini berjalan dengan baik. Kami membuat persiapan yang baik, pemain telah bersedia dan berlatih bersungguh-sungguh, memberikan 100 peratus dalam sesi latihan, memahami taktik yang ingin kami gunakan,“ katanya dalam sidang media praperlawanan.
Dari segi kecergasan, pasukan tidak menghadapi masalah besar. “Saya rasa dari segi kecergasan dan kecederaan, kami mempunyai masalah yang minimum,“ tambahnya.
Mengenai semangat pemain, Cameron mengakui ada kegelisahan tetapi menganggapnya sebagai motivasi positif.
“Jadi, sebagai seorang jurulatih, saya juga gugup. Saya yakin pemain juga semakin gementar, tetapi ia mengawal kegelisahan itu. Pemain sudah bersedia untuk bermain,“ jelasnya.
Kapten pasukan, Nur Dhiyaa Addin Zahari, yakin dengan keserasian skuad. “Saya boleh katakan ada kombinasi yang baik antara satu sama lain di atas padang,“ ujarnya.
Malaysia akan berdepan Iran pada 5 Ogos, diikuti Jepun (8 Ogos) dan Guam (10 Ogos). Lapan juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik akan mara ke pusingan akhir di Thailand pada 2026. – Bernama