KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited untuk terus menambah baik keperluan sekolah pondok dan sekolah agama rakyat bagi memastikan institusi pendidikan tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jurang kemudahan antara institusi pondok dan sekolah kebangsaan masih terlalu besar, justeru memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, sejak 2022, Kerajaan MADANI telah mengembalikan peruntukan kepada institusi berkenaan yang sebelum ini pernah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu ketika pembangkang mentadbir.
“Baru-baru ini saya bertemu guru-guru pondok yang mengeluh kerana sebelum ini, pemimpin mereka sekarang, iaitu kumpulan SG4 (State Government 4) telah membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Sebab itu, pada 2022, kita kembalikan semua peruntukan tersebut kepada sekolah agama rakyat, oleh kerajaan MADANI yang dituduh ‘zalim’ ini… sedangkan mereka yang disanjung dan dipuja itulah yang membatalkan (peruntukan) dahulu,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), mengenai kaedah kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera serta jurang peruntukan antara wilayah dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Anwar berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, telah diarahkan untuk menjalankan kajian menyeluruh bagi menambah baik kemudahan di institusi pondok yang disifatkan sebagai sangat daif. Ini termasuklah institusi yang terletak di kawasan pembangkang, meskipun terdapat pihak tertentu yang membantah hasrat kerajaan.
Anwar menegaskan bahawa usaha menaik taraf sekolah pondok adalah antara langkah utama kerajaan dalam merapatkan jurang sosial menerusi RMK13.
“Sebahagian pihak kata biarlah (sekolah pondok), sebab ia berada di kawasan pembangkang. Tapi saya tak peduli kerana yang belajar di sana adalah anak-anak kita juga. Dulu sekolah pondok menjadi benteng pertahanan akidah, ilmu dan kekuatan Islam.
“Sekarang, kita mahu terus pertahankan kekuatan itu, kekalkan pengajian tradisional seperti huffaz dan sebagainya, tetapi ia juga mesti ditambah dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengajian digital serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Anwar turut memberi jaminan akan turun padang dan mencari jalan terbaik bagi memperbaiki serta menambah baik sekolah pondok, sebagai usaha menjawab soalan Hamzah tentang langkah mengurangkan jurang pendidikan.
“Jurang antara sekolah pondok, sekolah agama dan sekolah menengah masih besar… jadi kita mesti tangani,” katanya.
Dalam usaha merapatkan jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri berkata kerajaan menyokong sepenuhnya usaha menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga serta menyokong pembangunan ekonomi biru di Sabah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negeri tersebut.
Mengenai agihan peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, beliau menegaskan bahawa peruntukan kepada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah telah bertambah berbanding semasa pentadbiran pembangkang di peringkat Persekutuan sebelum ini.
“Sebagai contoh, kita luluskan RM1 bilion untuk MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) di Kedah, sedangkan ramai pesawah di sana merupakan penyokong pembangkang. Namun, saya tidak persoalkan perkara itu, malah kita percepatkan proses peruntukan tersebut,” katanya. – Bernama