Kerajaan kaji pindaan akta tangani jualan dadah dalam talian

KAJANG: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu khusus bagi menangani fenomena penjualan dadah secara dalam talian yang semakin membimbangkan. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu itu dibincangkan secara serius dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) baru-baru ini.

“Kita telah membincangkan keperluan mendesak untuk meneliti sama ada meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu khusus bagi menangani fenomena penjualan dadah secara kecil-kecilan melalui medium dalam talian,“ katanya selepas merasmikan majlis penutup Program i-DEEN Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Saifuddin Nasution menekankan langkah itu perlu kerana trend penjualan dadah dalam talian semakin meningkat dan berbahaya. Bekalan dadah mudah diperoleh, manakala transaksi berlaku secara senyap dan sukar dikesan. “Kerajaan sedar tentang aspek ini dan sedang berusaha menanganinya. Tugas kami termasuk meneliti akta sedia ada untuk tujuan pindaan atau menggubal undang-undang baharu,“ jelasnya.

Beliau turut menyentuh cabaran penguatkuasaan kerana isu dadah dalam talian melibatkan pelbagai agensi kawal selia. Contohnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengawal selia dadah, tetapi jika dijual melalui platform dalam talian, ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Saifuddin Nasution turut menekankan keperluan meningkatkan kemahiran pegawai AADK bagi menangani perubahan jenis dadah. “Masalah dadah di Malaysia sudah melebihi empat dekad. Kini, terdapat peralihan daripada dadah konvensional kepada dadah sintetik yang lebih kompleks,“ katanya.

Pegawai AADK perlu memahami kesan dadah sintetik yang menyebabkan halusinasi serta meningkatkan kemahiran mengurus kes penagihan. “Klien di pusat pemulihan mempunyai latar belakang dan tahap ketagihan berbeza, jadi pendekatan rawatan perlu lebih khusus,“ tambahnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *