Garis panduan AI dilancar untuk perangi penipuan dalam talian di Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang merangka garis panduan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka siap pada awal 2026. Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, inisiatif ini bertujuan memerangi jenayah siber yang semakin kompleks, termasuk penipuan berasaskan AI seperti deepfake dan peniruan suara.

“Antara garis panduan yang sedang dibangunkan ialah Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data, serta Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan,“ jelas Gobind dalam kenyataan hari ini.

Menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes penipuan kewangan dalam talian dilaporkan pada 2024, meningkat 2.53 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan kerugian mencecah RM1.58 bilion. Dalam tempoh tiga bulan pertama 2025 sahaja, negara mencatatkan 12,110 kes melibatkan skim e-dagang palsu, pinjaman tidak wujud, dan pelaburan tidak sah, mengakibatkan kerugian RM573.7 juta.

Selain itu, Kementerian Digital turut melaksanakan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) bagi memastikan penggunaan AI oleh agensi kerajaan mematuhi prinsip etika dan undang-undang. “Program latihan seperti ‘AI Untuk Rakyat’ dan inisiatif MD Workforce di bawah MDEC diperkukuh bagi meningkatkan kemahiran keselamatan siber dalam kalangan penjawat awam,“ tambah Gobind.

Kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menghasilkan aplikasi berasaskan AI untuk mengesan pemalsuan gambar dan video, membantu siasatan jenayah siber. Gobind menegaskan komitmen kerajaan menjadikan Malaysia peneraju ekonomi digital serantau dengan ekosistem AI yang lebih selamat dan bertanggungjawab. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *