PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru rakyat Malaysia khususnya di Sabah agar mengisi makna kemerdekaan dengan mempertahankan perpaduan, kesejahteraan, dan keamanan negara. Beliau menekankan bahawa keharmonian dan kestabilan penting untuk pembangunan mampan serta memelihara kedaulatan negara.
“Ini semua bermula dengan kerjasama, perpaduan dan keharmonian kerana jika rakyat saling bercanggah antara satu sama lain, tidak mampu untuk saling bekerjasama atau saling berharmoni, bagaimana mungkin kedaulatan dapat dipertahankan,“ katanya selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Sabah.
Program yang melibatkan 60 peserta dari pelbagai agensi kerajaan ini akan merentasi 2,500 kilometer dalam 20 hari, melawat 75 lokasi di seluruh Sabah. Ewon berharap usaha sebegini dapat diteruskan bagi menyemarakkan semangat patriotik. Beliau juga mengajak rakyat menyertai kempen “Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang” dengan mengibarkan bendera di kediaman masing-masing.
Mengenai tema Hari Kebangsaan ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’, Ewon menyatakan ia selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 dan komitmen kerajaan dalam memperkasa martabat rakyat. – Bernama