Cubaan ragut gagal di Shah Alam, suspek ditahan orang awam

SHAH ALAM: Cubaan ragut oleh seorang lelaki di Jalan Setia Prima, Setia Alam gagal apabila suspek berjaya ditahan oleh orang awam petang semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.07 petang ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, sedang menuju ke keretanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek yang menunggang motosikal mendekati mangsa untuk meragut rantai lehernya. “Mangsa bertindak pantas dengan menarik semula rantai, menyebabkan suspek terjatuh dari motosikal. Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan orang awam,“ jelasnya.

Siasatan mendapati suspek, lelaki tempatan berusia 30 tahun, merupakan pemilik motosikal yang digunakan tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu. Suspek kini direman selama empat hari sehingga 7 Ogos.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, video kejadian yang memaparkan mangsa bergelut dengan suspek telah tular di media sosial. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *