IPOH: Pada ketika ramai individu seusianya memilih untuk berehat dan menjalani kehidupan persaraan dengan tenang, R. Manoharan mengikut laluan berbeza dengan mengisi masa terluang melatih generasi muda tanpa mengira bangsa mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
Dikenali sebagai “Coach Mano”, warga emas berusia 69 tahun dari Hutan Melintang, Perak ini sanggup mengorbankan masa dan tenaga, malah membuka klinik bola sepak secara percuma “Mano FC” sejak 29 tahun lepas, demi cintanya terhadap sukan itu dan impian untuk melihat perpaduan melalui bola sepak.
Bekas penjawat awam itu berkata penubuhan klinik bola sepaknya bermula secara kebetulan dengan niat mahu menjauhkan golongan muda daripada perkara negatif yang boleh merosakkan masa depan mereka.
“Seingat saya bermula sekitar 1996 dan ketika itu saya sering menghabiskan masa sama ada bermain bola sepak atau joging di padang ini (padang Taman Pertama). Bermula dari situ, saya didatangi beberapa remaja yang meminta saya mengajar mereka bermain bola sepak.
“Memikirkan tentang gejala sosial seperti dadah pada ketika itu, saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju dengan permintaan mereka,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Beliau berkata daripada hanya 11 belia dari sekitar kawasan Taman Pertama, khidmat kejurulatihan percuma ditawarkannya menjadi buah mulut dan sehingga kini kira-kira 40 kanak-kanak serta belia berusia antara 9 hingga 17 tahun dari seluruh Perak berlatih di bawah kendaliannya.
“Pencapaian ini satu nikmat kepada saya kerana pengalaman dan ilmu yang ada selaku pemain amatur dalam liga komuniti sekitar Perak sebelum ini dapat digunakan sebaiknya untuk melatih anak-anak muda sama ada Melayu, India, Cina atau Sikh,” katanya.
Siapa sangka dalam ramai-ramai anak didiknya, terselit nama besar dalam arena bola sepak negara yang pernah dilatihnya iaitu bekas pemain kebangsaan V. Saravanan, Khalid Jamlus serta Kenny Pallraj.
“Mereka adalah kejayaan terbesar kepada saya dan sehingga kini jika ada waktu terluang, ketiga-tiganya akan datang ke padang ini atau hubungi saya untuk bertanya khabar,” katanya.
Klinik bola sepak Manoharan diadakan pada setiap hujung minggu dan cuti persekolahan bermula dari 4.30 hingga 6.30 petang dengan sesi latihan tertumpu kepada teknik asas bola sepak seperti tendangan, kawalan, timbangan serta pergerakan tanpa bola.
Biarpun terpaksa mengeluarkan belanja ribuan ringgit daripada poket sendiri, Manoharan tidak pernah berkira untuk menghantar pemain di bawah kendaliannya menyertai pertandingan bola sepak di pelbagai peringkat bagi menilai prestasi pemain yang telah dilatih.
“Saya tidak kisah dan paling penting saya mahu lihat sejauh mana mereka mampu menggunakan ilmu diperoleh dalam perlawanan sebenar,” katanya yang turut dibantu sumbangan kewangan daripada ibu bapa anak didiknya.
Ditanya tentang peranan sukan dalam membentuk perpaduan, Manoharan berkata dia yakin pendekatan itu mampu menjadi pemangkin kepada semangat kebersamaan jika dimanfaatkan dengan betul.
Semangat menyokong pasukan bersama-sama, katanya selain berkongsi tawa dan peluh di atas padang adalah nilai yang sukar dilihat di tempat lain, melainkan dalam dunia sukan.
“Contohnya bola sepak… apabila budak Melayu, India dan Cina bersorak serta peluk satu antara sama lain selepas pasukan negara meraih kemenangan, pada masa itu kita tak fikir pun hal kaum. Itulah semangat Malaysia sebenar.
“Semangat itu lahir secara spontan dan pada masa sama, mampu membina hubungan erat antara satu sama lain. Maka, kita boleh nampak sukan seperti bola sepak boleh menjadi jambatan terbaik untuk memupuk patriotisme,” katanya.
Sementara itu, seorang pelatih Alif Muizzuddin, 14, berkata latihan diterapkan Manoharan banyak membantunya meningkatkan prestasi permainan terutama dari sudut teknik serta pendedahan dalam pertandingan bola sepak di pelbagai peringkat.
“Memang seronok berlatih di sini. Walaupun coach Mano tidak garang, tetapi dia tegas dan banyak mengajar cara memperbaiki teknik terutama kawalan bola serta peranan saya selaku pemain di posisi tengah,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS, di sini yang menjadikan pemain antarabangsa Portugal Cristiano Ronaldo sebagai idola itu turut kagum dengan semangat Manoharan yang tidak jemu mencurahkan ilmu bola sepak tanpa sebarang bayaran.
Rashviin Abdullah, 16, pelajar SMK Saint Michael pula berkata bola sepak bukan sahaja dapat mengelaknya membuang masa dengan perkara tidak berfaedah, tetapi juga membantunya membentuk disiplin apabila menjalani rutin latihan yang teratur, pematuhan terhadap masa dan arahan jurulatih serta komitmen terhadap pasukan.
“Sebagai contoh, jurulatih tetapkan 4.30 petang perlu berada di atas padang. Jadi, kita sebagai pemain perlu patuh bagi memastikan arahan itu diikuti. Ini satu contoh komitmen yang mengajar erti disiplin.
“Saya tak kisah kalau tak jadi pemain hebat atau ternama, yang lebih penting saya menjadi manusia berdisiplin dan baik,” katanya yang bercita-cita menjadi tentera. – Bernama