KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan penyanyi rap Caprice memadamkan semua hantaran berunsur fitnah terhadap seorang ahli perniagaan yang dimuat naik di Instagram miliknya bulan lepas.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim dalam saman yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan Datuk Seri R. Jeyenderan.
Caprice juga dihalang daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif sementara menunggu pendengaran injunksi inter-parte selesai. Perkara itu disahkan oleh peguam V. Muniandy, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa yang mewakili Jeyenderan serta peguam Megat Syazlee Mokhtarom bagi pihak Caprice.
Jeyenderan mendakwa Caprice telah memuat naik beberapa hantaran termasuk gambar dan video plaintif di Instagram miliknya pada 10 Julai yang didakwa mengaitkan plaintif dengan kegiatan jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sah.
“Fitnah itu dibuat bagi menimbulkan syak wasangka, kebencian masyarakat dan tekanan sosial terhadap plaintif,“ kata Jeyenderan. Beliau turut menyatakan Caprice tidak pernah menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan sebelum menerbitkan dakwaan serius tersebut.
Akibat penerbitan itu, reputasi Jeyenderan sebagai pakar perkapalan dan maritim terjejas di peringkat global. Beliau juga mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak ceramah utama di Dubai, Turki dan India.
Plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan reputasi, ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama