PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat aeroangkasa global, Boeing, telah menjalin kerjasama bagi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Inisiatif ini bertujuan menyelaraskan operasi di salah satu lapangan terbang tersibuk di Asia Tenggara dengan memperbaiki koordinasi antara juruterbang dan pengawal trafik udara.
Menurut kenyataan bersama, konsep operasi baharu ini akan menggunakan laluan penerbangan lebih pintar dan profil penurunan yang dioptimumkan, membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta kelewatan tanpa mengubah reka bentuk ruang udara sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata kerjasama ini memanfaatkan kepakaran global Boeing untuk memastikan KLIA bersedia menampung pertumbuhan masa depan secara selamat dan mampan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen CAAM terhadap inovasi dan kecemerlangan kawal selia dalam sektor penerbangan Malaysia,“ katanya.
Mike Sinnett, Naib Presiden Kanan Strategi Produk Boeing, menyatakan pertumbuhan penumpang udara di Malaysia dijangka meningkat 50 peratus dalam lima tahun.
“Kami komited menyokong industri penerbangan awam Malaysia dengan penyelesaian jangka panjang yang mampan,“ katanya.
Kedua-dua pihak akan menilai operasi semasa dan membangunkan konsep baharu yang perlu melalui semakan kawal selia. Boeing akan menyokong pelaksanaan konsep ini menggunakan kepakaran globalnya dalam pengurusan trafik udara.
Boeing dan Malaysia telah bekerjasama selama 78 tahun dalam pembangunan aeroangkasa dan pertahanan negara. – Bernama