KUALA LUMPUR:Thailand dan Kemboja menunjukkan komitmen tinggi untuk menghentikan konflik di sempadan semasa perbincangan peringkat sekretariat di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia. Mesyuarat ini membincangkan terma rujukan bagi penubuhan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AMT).
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata AMT akan memastikan kedua-dua negara mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui pemimpin mereka di Seri Perdana pada 28 Julai lepas. “Sekarang mereka sedang berbincang prasyarat untuk AMT. Jika semuanya berjalan lancar, keputusan positif akan diperoleh pada Khamis ini,“ katanya.
Mesyuarat sekretariat ini dihadiri 54 wakil Thailand dan Kemboja. Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit, dijangka menyertai mesyuarat GBC Thailand-Kemboja pada Khamis ini.
Mohd Nizam menegaskan Malaysia tidak terlibat dalam perbincangan tiga hari itu tetapi berperanan sebagai pemudah cara. “Kami hanya membantu hala tuju perbincangan dan menekankan perkara yang perlu dicapai sebelum GBC,“ jelasnya.
Antara syarat utama ke arah kedamaian ialah gencatan senjata sepenuhnya, tiada penambahan tentera di sempadan, dan tiada kenyataan bercanggah. Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa 28 Julai lepas selepas mesyuarat di Malaysia.
Ketegangan di sempadan 817 kilometer yang belum ditandakan ini memuncak pada 28 Mei lalu dengan pertempuran di Preah Vihear yang mengorbankan seorang tentera Kemboja – BERNAMA