Terbuka Macau: Wan Arif Puas, “perangi” titisan air demi kejuaraan sulung

KUALA LUMPUR: “Titisan air pun saya lawan,” itu reaksi pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi, selepas menamatkan penantian gelaran sulung di pentas Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersama Yap Roy King di Terbuka Macau 2025, semalam.

Wan Arif-Roy King yang turun selaku pilihan keempat kejohanan bertaraf Super 300, mengejutkan pilihan utama dari Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18, dalam aksi final di Macao East Asian Games Dome.

Walaupun titisan air dari bumbung gelanggang mengganggu fokus Wan Arif di awal permainan, namun pemain berusia 23 tahun itu akhirnya mampu mengatasi cabaran unik tersebut, bagi melengkapkan hari bermakna buatnya dan Roy King.

“Sewaktu di final, ketika servis pun air menitik malah ketika sedang rally dan smash air jatuh atas kepala tetapi saya beritahu diri sendiri, jika saya ‘koyak’, pihak lawan pun sama juga. Jadi, saya cuba fokus satu demi satu,” katanya menerusi audio dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Perseteruan kali kelima antara kedua-dua pasangan tersebut terpaksa dihentikan beberapa kali susulan masalah air menitik dari atas bumbung ,menyebabkan permukaan gelanggang menjadi licin dan membahayakan pemain.

Wan Arif pada masa sama juga puas dapat membalas dendam kekalahan kepada Sabar Karyaman-Moh Reza pada final Masters Madrid Spain 2024.

Beliau juga berkata mereka berdua semakin serasi dengan gaya permainan serta corak taktikal diterapkan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi, enam bulan selepas jurulatih berprofil tinggi dari Indonesia itu memulakan tugas di Malaysia.

Sementara itu, Herry, ketika dihubungi Bernama, melontarkan cabaran kepada Wan Arif-Roy King agar terus konsisten untuk kejohanan mendatang.

Herry juga optimis kejayaan sulung anak buahnya itu mampu melonjakkan keyakinan mereka bagi mengharungi Kejohanan Dunia 2025, dijadual berlangsung di Paris dari 25-31 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh berkata kekalahan kepada wakil Indonesia Alwi Farhan 15-21, 5-21, pada perlawanan akhir kejohanan sama memberi pengalaman berguna kepadanya untuk lebih sabar dan mempertingkatkan lagi strategi permainan pada masa akan datang.

Di sebalik kegagalan Justin membawa pulang gelaran pertama Jelajah Dunia, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara Kenneth Jonassen pula tetap gembira dengan kematangan dipamerkan pemain berusia 21 tahun itu dan mahu anak buahnya bangkit lebih kuat selepas ini – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *