PN ucap tahniah kepada PM Anwar bantu redakan konflik Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranannya dalam membantu meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia dalam memperkukuh kestabilan rantau Asia Tenggara.

“Apa pun peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) walau ada yang menyifatkan sebagai tuan rumah, ia tetap satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas,“ kata Hamzah dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat selepas mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan sebagai sebahagian perjanjian gencatan senjata.

Hamzah turut menyeru Malaysia supaya konsisten dalam memperjuangkan keamanan global dan bersuara menentang penindasan.

“Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja, tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung,“ jelasnya.

Beliau menekankan pentingnya diplomasi terukur bagi memelihara kepentingan negara.

Mengenai isu tarif Amerika Syarikat (AS), Hamzah menyatakan pendirian PN bahawa Malaysia perlu berdagang dengan maruah.

“AS mengenakan tarif pada kadar yang dikurangkan kepada 19 peratus daripada 25 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *