KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi seorang lagi warga Turkiye, Eser Demirkol, yang hilang selepas kapal layar Daisy karam di perairan Pulau Yu, diteruskan untuk hari kelima.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata pencarian hari ini melibatkan sembilan anggota Skuadron Selam Maritim Malaysia bermula kira-kira pukul 9 pagi.
“Cuaca cerah dan laut yang agak tenang memberi ruang kepada pasukan penyelam untuk meluaskan radius pencarian,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pasukan selam menggunakan peralatan Remote Operated Vehicle (ROV) untuk meninjau lokasi kapal layar yang disyaki hanyut, namun tiada petunjuk positif ditemui.
Kawasan pencarian meliputi sekitar 500 meter persegi di kedudukan 5.12 batu nautika dari Pulau Yu.
Sebelum ini, tiga warga Turkiye iaitu kapten kapal Ahmet Volkan Ata (52), Ates Demiroren (42), dan Demirkol (52) memulakan pelayaran dari Malaysia ke negara asal mereka pada 28 Julai.
Kapal layar itu dilanda ribut dan dipercayai karam pada 29 Julai.
Demiroren diselamatkan nelayan tempatan pada 31 Julai, manakala Volkan Ata ditemui selamat pada malam yang sama selepas lebih 40 jam berenang di laut. – Bernama