Negeri Sembilan jangka REE sumbang besar pada hasil negeri mulai 2027

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menjangkakan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini bakal memberi sumbangan besar kepada hasil negeri bermula 2027, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan diberitahu hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kutipan hasil melalui dua lesen tenemen mineral yang telah diluluskan dianggarkan sebanyak RM18 juta.

“REE itu dikenal pasti di beberapa daerah termasuk di Kuala Pilah dan Jelebu dan dijangka memberi sumbangan besar kepada hasil negeri,“ katanya pada sesi soal jawab lisan di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) dibacakan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) yang ingin tahu perancangan berkenaan hasil-hasil baharu atau semakan semula cukai yang bersifat lebih bersasar dan progresif bagi membantu golongan B40.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata beberapa bidang lain turut berpotensi untuk meningkatkan kutipan hasil negeri antaranya transformasi komoditi air dan pengenalan caj perkhidmatan yang menjurus ke arah kelestarian ekonomi.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Pindaan Cukai Tanah (PCT) dan kadar cukai petak mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Hakmilik Strata setiap sepuluh tahun berupaya untuk meningkatkan hasil cukai tanah yang dianggarkan RM400 juta dan dijangka dilaksanakan pada 2029.

Aminuddin berkata dalam menjana tambahan hasil baharu juga, Jabatan Perhutanan mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenakan caj bayaran Fi Konservasi bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba terpilih dengan kadar RM3 bagi warganegara dan RM6 (bukan warganegara) serta dikecualikan bayaran kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

“Tiga peringkat fasa pelaksanan caj bayaran Fi Konservasi akan didahului dengan kawasan yang lengkap kemudahan asas seperti di Taman Eko Rimba Ulu Bendul sebagai lokasi fasa pertama. Pelaksanaan fi ini dijangka tidak membebankan golongan B40 atas pertimbangan kadar fi yang rendah dan munasabah, serta jauh lebih murah berbanding kos aktiviti rekreasi komersial lain dan masih dalam kemampuan kebanyakan rakyat,“ katanya.

Beliau berkata kutipan fi itu juga akan disalur kepada aktiviti pemuliharaan hutan dan penyelenggaraan fasiliti awam di Taman Eko Rimba sekali gus memberi impak yang lebih positif kepada semua pihak dengan persekitaran yang lebih selamat dan selesa semasa melaksanakan aktiviti riadah di Negeri Sembilan.

Beliau turut berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan sistem cukai tanah yang adil, progresif dan inklusif bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan atau yang memerlukan sokongan.

“Kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan semua golongan rakyat dijaga dengan menyediakan pelbagai inisiatif yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *