Malaysia bersedia hadapi tarif tambahan industri semikonduktor – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan tarif tambahan dikenakan ke atas industri semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Walaupun pada masa ini produk semikonduktor diberi pengecualian daripada pengenaan tarif timbal balas, ia sedang disiasat di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962 yang membenarkan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan dengan AS.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa antara perkara telah dimuktamadkan dengan AS adalah persetujuan secara prinsip, iaitu komitmen dibuat sepanjang rundingan akan diterjemahkan secara terperinci dalam bentuk satu dokumen perjanjian, iaitu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Trade – ART) yang akan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak kelak.

Beliau berkata skop rundingan melibatkan enam seksyen utama:

i. Seksyen 1 – Tarif dan Kuota​​​​​

ii. Seksyen 2 – Halangan Bukan Tarif dan Perkara-Perkara Berkaitan

iii. Seksyen 3 – Perdagangan Digital dan Teknologi​​​​​

iv. Seksyen 4 – Peraturan Tempasal

v. Seksyen 5 – Keselamatan Ekonomi dan Negara​​

vi. Seksyen 6 – Pertimbangan Komersial

​​​

Sebagai rujukan, Peraturan Tempasal (tempat asal) adalah peraturan digunakan untuk menentukan negara asal sesebuah barangan, ia adalah konsep yang sangat penting dalam perdagangan antarabangsa.

Secara asasnya, peraturan ini menetapkan kriteria perlu dipenuhi oleh sesuatu produk untuk dianggap sebagai “berasal dari” atau “dibuat di” sebuah negara tertentu.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata bagi usaha mengurangkan jurang defisit dagangan dua hala, AS menggalakkan Malaysia membuat perolehan dan pelaburan dari AS di Amerika Syarikat di bawah Seksyen 6 perjanjian Malaysia dan AS iaitu Pertimbangan Komersial.

Antara komitmen dibuat antara Malaysia dan AS adalah perolehan barangan oleh syarikat-syarikat multinasional untuk sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bernilai US$150 bilion bagi tempoh lima tahun.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memantau pelaksanaan komitmen-komitmen telah dipersetujui dan memastikannya dilaksanakan dengan baik dan dapat memberikan faedah kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Untuk industri-industri tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan MADANI akan terus membantu mereka dalam menghadapi cabaran geoekonomi ini termasuk mengadaptasikan proses perniagaan dan eksport ke AS berikutan pelaksanaan tarif timbal balas tersebut.

“MITI dan agensi di bawahnya akan melaksanakan jerayawara untuk sektor-sektor berkenaan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga komited memastikan dengan termaktubnya perjanjian dengan Amerika Syarikat, Malaysia dapat terus memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS, pada masa sama meneruskan kerjasama strategik dengan rakan-rakan dagang lain tanpa menggadai kedaulatan dan kestabilan ekonomi negara – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *