Kerajaan teliti laluan pelaksanaan tenaga nuklear di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti laluan pelaksanaan yang sesuai untuk meneruskan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Kajian prakebolehlaksanaan yang dijalankan dari Jun hingga Disember 2024 menunjukkan bahawa tenaga nuklear adalah berdaya maju dari segi teknikal dan berpotensi menjadi pilihan jangka panjang untuk campuran tenaga negara.

“Kajian ini mengenal pasti 24 penemuan utama dan 22 syor strategik yang perlu dilaksanakan bagi mencapai hasrat negara untuk memperkenalkan tenaga nuklear,“ jelas Akmal Nasrullah dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan ini akan mengikut piawaian antarabangsa dalam aspek keselamatan, sekuriti, dan kawal gunaan nuklear (3S).

Bagi menyokong fasa seterusnya, kerajaan melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower) sedang merancang penilaian terperinci untuk memperkukuh infrastruktur tenaga nuklear.

“Kerajaan juga melaksanakan penilaian lokasi, kebolehlaksanaan teknikal dan komersial, serta merangka strategi libat urus dengan pihak berkepentingan,“ tambahnya.

Penemuan dan syor daripada penilaian ini akan menjadi asas penting dalam membuat keputusan berasaskan data untuk perancangan tenaga negara pada masa hadapan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *