Kerajaan hanya benarkan import daging, ayam dengan sijil halal patuh JAKIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan membenarkan pengimportan daging, produk daging, unggas, dan produk unggas yang mempunyai sijil Halal daripada badan pensijilan halal Amerika Syarikat (AS) yang mematuhi piawaian JAKIM.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan kerajaan tidak berkompromi dalam mengekalkan standard Halal berlandaskan Syariah bagi melindungi kepentingan pengguna Muslim di Malaysia.

“Fasilitasi yang ditawarkan hanya melibatkan pemantauan dan verifikasi oleh Badan Pensijilan Halal AS yang diiktiraf JAKIM,” jelasnya semasa sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menafikan dakwaan bahawa Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan mengelirukan.

“Ini tidak mencerminkan fakta sebenar hasil rundingan,” tegasnya.

Rundingan turut merangkumi pemudahan prosedur pensijilan dan pendaftaran fasiliti eksport produk tenusu, daging, dan unggas dari AS ke Malaysia berdasarkan peraturan domestik.

“Kedua-dua negara juga bersetuju melaksanakan kaedah ‘regionalisation’ bagi kawalan penyakit haiwan untuk eksport unggas hidup dan produknya,” tambah Tengku Zafrul.

Selain itu, AS dan Malaysia akan memudahkan pengiktirafan standard produk perindustrian seperti automotif, peranti perubatan, dan farmaseutikal mengikut peraturan tempatan.

Rundingan turut memperkukuh komitmen dalam isu hak harta intelek, buruh, alam sekitar, dan pengurusan perikanan mampan selaras dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *