Kemalangan bas rempuh lori di Lebuh Raya Utara Selatan

MELAKA: Seorang pemandu lori cedera parah di kaki selepas bas ekspres membawa sembilan penumpang merempuh sebuah lori dan treler di Kilometer 220.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata pemandu lori tujuh tan berusia 23 tahun itu cedera parah di kaki kanan selepas tersepit di tempat duduknya dalam kejadian kira-kira 1 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan 1.02 pagi, sebelum sebuah jentera dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 10 anggota,“ katanya.

Menurut Zulkhairani, pasukan penyelamat tiba di lokasi pada 1.22 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan bas ekspres, lori, dan treler. Pemandu lori tersepit dalam kenderaannya, manakala pemandu bas ekspres berusia 64 tahun dan sembilan penumpangnya serta pemandu treler 14 tan berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu lori berjaya dikeluarkan dalam 15 minit sebelum dibawa ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan untuk rawatan lanjut,“ jelasnya.

Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan bergerak di lorong kiri lebuh raya sebelum bas ekspres dikatakan merempuh lori dan treler tersebut -Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *