Kawal selia BNPL diperketat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025

KUALA LUMPUR: Penggunaan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) masih terkawal, namun langkah pengawalseliaan sedang dipertingkatkan menerusi Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025 untuk melindungi pengguna.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata statistik terkini menunjukkan sebanyak 102.6 juta transaksi BNPL bernilai RM9.3 bilion direkodkan pada separuh pertama 2025.

Ini meningkat 3.1 peratus daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024.

“Jumlah BNPL buat masa sekarang yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL,“ katanya.

Beliau menekankan bahawa Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang baru ditubuhkan akan mengawal selia perkembangan semasa sektor industri kredit termasuk BNPL.

SKP kini sedang mengkaji had kadar faedah yang dikenakan penyedia kemudahan itu kepada pengguna kredit serta mengambil kira mekanisme patuh syariah.

“Secara amnya kadar faedah dikenakan pemain industri BNPL adalah 15 hingga 30 peratus setahun.

“Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang tidak mengenakan sebarang caj kadar kaedah,“ jelas Amir Hamzah.

Mengikut AKP 2025, syarikat yang menawarkan skim BNPL dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna.

“Penilaian kemampuan berhutang merupakan keperluan penting yang perlu dipatuhi oleh syarikat BNPL sebelum menawarkan kredit,“ tegasnya.

Kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *