Dua pegawai, seorang bekas pegawai SPRM bebas tuduhan rompak ahli perniagaan China

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi penguatkuasaan itu, daripada pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan warga China pada 2021.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen prima facie terhadap dua pegawai SPRM Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 35, dan Mohd Fahmee Mohamad Nor, 43, serta bekas pegawai agensi itu Azwan Asli, 40, di akhir kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dan memenuhi elemen rompakan dalam transaksi tersebut, maka dengan ini saya melepas dan membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” kata hakim itu.

Izralizam dalam penghakiman ringkasnya berkata terdapat laporan polis oleh mangsa yang merupakan saksi pendakwaan pertama (SP1), bahawa kehadiran tiga lelaki ke rumahnya adalah bagi memulakan siasatan berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

“SP1 berkata beliau berasa terancam kerana ketiga-tiga tertuduh memaklumkan beliau mungkin akan ditahan sekiranya gagal memberikan kerjasama semasa siasatan, namun mahkamah mendapati ia bukanlah penahanan secara salah sekiranya ia dibuat atas kapasiti pegawai SPRM,” katanya

Izralizam berkata berdasarkan keterangan oleh mangsa sendiri menunjukkan beliau tidak mempunyai perasaan takut terhadap ketiga-tiga tertuduh semasa kejadian, kerana mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Tiada sebarang bukti bahawa mangsa diugut dengan senjata api oleh ketiga-tiga lelaki itu, walaupun beliau mendakwa seorang daripada mereka membawa senjata api di dalam beg galasnya,” kata Izralizam sambil menambah bahawa kewujudan senjata api yang didakwa itu tidak dibuktikan semasa perbicaraan.

Pada 13 Dis 2023, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Kun Gao dengan merompak wang tunai RM952,690 dan 1,225 Yuan, satu bagasi berwarna perak serta satu beg jenama Louis Vuitton berwarna hitam milik lelaki itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, pada 12 tengah hari, 10 Dis 2021, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada November 2024 – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *