AGC teliti laporan siasatan awal kes kematian Zara Qairina

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang meneliti laporan penuh siasatan awal yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menurut kenyataan rasmi AGC, laporan tersebut telah diterima pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

“Proses penelitian itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan,“ menurut kenyataan tersebut.

AGC turut menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kes ini akan diumumkan setelah proses penelitian laporan siasatan awal selesai.

“Jabatan itu menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,“ tambah kenyataan itu.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas. Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai -Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *