394 MyKiosk unit di Negeri Sembilan telah terisi

SEREMBAN: Sebanyak 394 daripada 426 unit MyKiosk di Negeri Sembilan telah terisi, dengan kos antara RM15,000 hingga RM25,000 seunit bergantung pada spesifikasi dan kemudahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata Seremban mencatat jumlah tertinggi iaitu 130 unit, diikuti Port Dickson (35), Jempol (50), Tampin (58), Kuala Pilah (68), Rembau (47), dan Jelebu (38).

“Baki yang belum terisi disebabkan lokasi tidak sesuai. Saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) memindahkannya ke lokasi lebih strategik,“ katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Beliau turut meminta PBT menarik balik lesen MyKiosk yang tidak digunakan dan memberikannya kepada peniaga yang berminat.

Soalan tambahan daripada Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) mengenai reka bentuk MyKiosk yang lebih beridentiti negeri dijawab Arul Kumar dengan menyatakan reka bentuk sedia ada mengikut standard nasional.

“Kita boleh pertimbangkan cadangan itu pada masa depan untuk menonjolkan identiti tempatan,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *