Serangan ke atas ibu pejabat Bulan Sabit Merah di Gaza ragut nyawa petugas

ANKARA: Serangan udara Israel menyasarkan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Khan Younis, Gaza awal pagi Ahad, mengorbankan seorang petugas dan mencederakan tiga yang lain, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan pertubuhan itu.

Serangan mengenai tingkat pertama bangunan, menyebabkan kebakaran dan kerosakan besar, menurut kenyataan itu.

Serangan berlaku selepas utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff melawat Gaza bagi meninjau usaha membawa masuk bekalan makanan ke wilayah Palestin yang musnah teruk, ketika jumlah kematian akibat kebuluran terus meningkat sejak beberapa hari lalu.

“Gaza kini berada di ambang kebuluran besar-besaran. Penduduk sedang kebuluran bukan kerana makanan tiada, tetapi kerana akses dihalang, sistem makanan tempatan runtuh dan keluarga tidak lagi mampu menampung keperluan asas untuk hidup,” menurut Ketua Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Qu Dongyu.

Tentera Israel terus menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata dan membunuh lebih 60,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak Oktober 2023.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang yang dilancarkan ke atas wilayah terkepung itu.

— BERNAMA-ANADOLU

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *