KANGAR: Sepanjang tempoh 25 tahun kepimpinan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis, peranan baginda menyerlah dalam mendepani agenda pembangunan agama dan sosial serta ekonomi ummah.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan hari ini memaklumkan baginda turut menyerlah di peringkat global melalui misi kemanusiaan, kerjasama pendidikan dan hubungan diplomasi agama.
Menurut MAIPs, baginda turut memacu transformasi agensi itu dengan memperkukuh pengurusan zakat serta wakaf secara bersepadu, mengangkat masjid sebagai pusat komuniti dan kesejahteraan kariah selain membangunkan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan ekonomi asnaf.
“Di bawah kepimpinan baginda, MAIPs muncul sebagai institusi agama negeri yang progresif dan berwibawa, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa. Kepimpinan baginda menjadi lambang istana yang dekat di hati rakyat, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh dalam membangunkan negeri Perlis.
“Baru-baru ini, Tuanku Raja Muda memimpin inisiatif MAIPs dalam misi kemanusiaan di Kenya dan Rwanda selain menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan Islam antarabangsa untuk memperkenalkan UniSIRAJ (Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin) dan mempromosikan nilai Islam yang harmoni dan berperikemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra diraikan dalam Takrim 25 Tahun Pemasyhuran sebagai Raja Muda Perlis yang berlangsung bersempena Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Agama Islam Perlis 2026-2030 di sini pada Jumaat lepas.
“Majlis ini menjadi lambang penghargaan tertinggi atas dedikasi dan jasa baginda selama dua dekad setengah yang tidak pernah luntur dalam membimbing umat, memartabatkan agama dan menyantuni rakyat Perlis,” katanya.
MAIPs turut memaklumkan dalam titah sempena muzakarah itu, baginda menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hala tuju hal ehwal agama Islam Perlis bagi tempoh 2026 hingga 2030 melalui pendekatan bersepadu, berimpak serta penuh keberkatan agar negeri berkenaan kekal harmoni, berilmu dan sejahtera.
“Majlis Takrim ini bukan sahaja mengimbau perjalanan 25 tahun kepimpinan baginda malah menjadi manifestasi ikrar untuk meneruskan perjuangan berasaskan keberkatan, keadilan dan kesejahteraan ummah seiring doa agar kepimpinan baginda sentiasa diberkati Allah SWT,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut istiadat rasmi pelantikan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis diadakan pada 12 Okt 2000 di Balairong Seri, Istana Arau setelah paduka ayahanda baginda Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 16 April tahun yang sama.
Sejak itu, baginda Putra menggalas amanah sebagai pewaris takhta negeri berkenaan dan Yang Dipertua MAIPs dengan tanggungjawab utama untuk membantu serta menasihati Raja Perlis dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perlis – BERNAMA