PRN Sabah: Tiada pertembungan tiga penjuru PH-BN-GRS – Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmennya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR berkata rundingan kini sedang berlangsung bagi mencapai persefahaman agar tidak berlaku pertindihan calon.

“Namun sekiranya ia berlaku, nasihat kami adalah untuk cuba mengelak daripada terlibat dalam pertembungan sesama sendiri yang boleh menyebabkan banyak perbezaan.

“Tetapi saya tidak mahu membuat sebarang andaian awal memandangkan niat kita adalah untuk memastikan persefahaman penuh dapat dicapai,” kata Anwar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR Sabah di sini hari ini.

Anwar berkata persefahaman antara PH, BN dan GRS adalah penting dan perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

“Kita telah sampaikan mesej ini kepada ketiga-tiga gabungan PH, BN dan GRS, supaya mementingkan persefahaman, itu perkara utama. Tetapi dalam politik, tiada yang mustahil untuk dicapai dan ada juga mustahil untuk dicapai,” katanya.

Anwar pada masa sama turut menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama dengan GRS dan BN pada PRN kali ini, namun menegaskan PH tidak akan memihak dalam sebarang ‘cinta segi tiga’ politik, sebaliknya akan memainkan peranan sebagai pengimbang demi memastikan kestabilan politik dan mengelakkan pertelingkahan antara sekutu.

“Cinta itu menyenangkan, kadang-kadang ada sedikit luka tapi itu makna cinta,” katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk PH memainkan peranan yang konstruktif, memastikan kehadirannya bukan sahaja membawa agenda reformasi malah mewujudkan persefahaman menyeluruh dalam kalangan semua parti.

“Kita memerlukan kerjasama penuh semua parti bagi memastikan kestabilan, keamanan serta kerajaan negeri yang kukuh, yang pada pandangan saya amat penting untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat Sabah dan Malaysia,” katanya.

Pada 27 Julai lepas, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengesahkan akan membentuk pakatan bersama PH bagi menghadapi PRN17 akan datang.

Dua hari kemudian, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan bahawa gabungan itu sudah ‘mengunci’ kerjasama dengan PH sebagai rakan kongsi bagi menghadapi PRN Sabah.

Tempoh lima tahun semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan tamat secara automatik pada 11 Nov ini, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN Sabah ke-17 – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *