Persiapan Melaka sebagai tuan rumah WTD 2025 hampir 90 peratus

ALOR GAJAH: Persiapan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 telah mencapai hampir 90 peratus menjelang acara yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesiapsiagaan meliputi aspek pengisian program, pemilihan lokasi kemuncak sambutan serta jemputan delegasi antarabangsa khususnya menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia dan anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

“Kita masih dalam tindakan persiapan menjelang sambutan WTD 2025 dan hanya tinggal kira-kira 10 hingga 15 peratus sahaja kerja-kerja atau persiapan yang masih berbaki. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya yakin kehadiran dalam kalangan menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia mendapat sambutan dan jemputan telah dibuat kepada mereka,“ katanya.

Abdul Razak berkata Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) akan berlangsung di sebuah hotel di Melaka Raya manakala Majlis Makan Malam WTD 2025 dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) pula diadakan di pusat persembahan pelbagai guna di Kota Syahbandar.

“Pemilihan pusat persembahan pelbagai guna itu adalah sesuai dengan acara kemuncak sambutan WTD 2025 dan pelancaran TMM 2026 kerana kita ingin memperlihatkan keunikan dan kelebihan Melaka yang terletak di Selat Melaka kepada delegasi antarabangsa,“ katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah berlangsung di tujuh DUN termasuk Rembia. Program ini dilihat memberi impak positif dalam menyelesaikan isu atau permasalahan yang dihadapi rakyat.

“Banyak juga aduan rakyat telah berjaya diselesaikan sekali gus membuktikan pelaksanaan WRUR bertepatan dengan objektifnya dan wajar diteruskan ke semua 28 DUN di Melaka,“ katanya.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *