Pensyarah rugi RM200,000 diperdaya skim kripto dan love scam

KUALA TERENGGANU: Seorang pensyarah lelaki mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas menjadi mangsa dua skim penipuan berbeza melibatkan pelaburan mata wang kripto dan love scam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor, mangsa berusia 54 tahun itu mula-mula diperdaya oleh seorang kenalan wanita di aplikasi TilMatch pada 19 Julai lalu. Mangsa kemudian membuat lima pindahan wang berjumlah RM162,170 untuk skim pelaburan kripto yang didakwa menguntungkan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan. Dia baru sedar ditipu apabila diminta menambah modal tanpa keuntungan sebelumnya dibayar,“ jelas Azli.

Dalam kejadian berasingan pada 27 Julai, mangsa terperangkap dalam love scam selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi yang sama. Mangsa memberikan alamat rumah untuk penghantaran hadiah, tetapi kemudian dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier.

“Mangsa diminta membayar RM12,500 untuk pelepasan barang yang kononnya ditahan kastam. Walaupun hanya mampu membayar RM10,000, mangsa terselamat daripada kerugian lebih besar apabila transaksi baki RM2,500 disekat,“ tambah Azli.

Pihak polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Akaun bank yang digunakan suspek juga dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penipuan lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *