KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat untuk menemui Eser Demirkol, warga Turkiye yang dilaporkan hilang selepas kapal layar dinaikinya karam di perairan Pulau Yu, Kuala Terengganu.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata dua pasukan penyelam telah dihantar ke lokasi kejadian pagi ini. “Pencarian melibatkan penggunaan aset laut dan udara, termasuk helikopter. Kami juga mendapat bantuan daripada PDRM,“ jelasnya semasa Program Hari Bersama Media 2025 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan berdasarkan maklumat terakhir daripada dua mangsa terselamat, meliputi kawasan seluas 305 batu nautika persegi. “Seorang mangsa menyatakan mereka sempat terjun ke laut, manakala seorang lagi dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri kerana sedang tidur,“ tambahnya.
Sebelum ini, tiga warga Turkiye iaitu Ahmet Volkan Ata (52), Ates Demiroren (42), dan Demirkol (52) merancang pelayaran dari Malaysia ke Turkiye. Kapal layar mereka dilaporkan karam akibat ribut pada Selasa lepas.
Demiroren dan Ata berjaya diselamatkan nelayan tempatan selepas terapung di laut. Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu – Bernama