KOTA KINABALU: Perbincangan mengenai isu berkaitan Laut Sulawesi antara Malaysia dengan Indonesia dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang antarabangsa, fakta sejarah dan mengambil kira persetujuan Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Jakarta perlu dipelihara dalam langkah menyelesaikan isu sempadan maritim tersebut, memandangkan Indonesia ialah negara sahabat serumpun sejak sekian lama. Malah, Anwar berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga merupakan sahabat peribadinya, justeru beliau mahu isu itu dibincangkan secara harmoni dan mesra dalam semangat kekeluargaan.
“Kita kena berbincang ikut undang-undang, sejarah dan mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri (Sabah) dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Sabah). Itu yang kita perlukan dengan syarat rasmi,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini.
Anwar berkata Malaysia telah berjaya menyelesaikan beberapa isu sempadan dengan Indonesia termasuk melibatkan Sarawak, yang kini memudahkan aliran keluar masuk orang ramai serta barangan melalui pelabuhan sempadan. Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu terlibat dalam perundingan.
“Ke Indonesia baru-baru ini bersama saya saudara Hajiji dan Abang Jo (Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo dan jemaah menteri,” katanya. Anwar turut menyatakan kerjasama antara Petronas dan Pertamina dalam aktiviti cari gali minyak di kawasan sempadan. – Bernama