Lawatan Agong kemuncak hubungan diplomatik Malaysia-Rusia – Duta Besar

MOSCOW: Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai menyifatkan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini sebagai kemuncak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata lawatan itu merupakan kunjungan tertinggi pernah dilakukan dan yang pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada April 1967.

“Lawatan Negara Seri Paduka Baginda atas undangan Presiden Rusia Vladimir V. Putin merupakan pengiktirafan kepada hubungan diplomatik yang berlangsung selama lima dekad dengan Malaysia menjadi antara negara ASEAN terawal menjalinkan hubungan dengan Kesatuan Soviet pada ketika itu.

“Lawatan ini juga menunjukkan peranan institusi Yang di-Pertuan Agong yang sangat penting dalam konteks hubungan antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini sempena Lawatan Negara Sultan Ibrahim.

Cheong berkata lawatan itu akan bermula di Moscow di mana Seri Paduka Baginda dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Putin di Grand Kremlin Palace.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan potensi kerjasama dalam bidang perdagangan serta pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi, hubungan sesama rakyat, transformasi digital, pertanian, keselamatan makanan selain isu-isu serantau dan antarabangsa.

“Lawatan peringkat tertinggi ini pastinya akan memberi impak tinggi dalam meningkatkan momentum dan trend positif hubungan dua hala Malaysia dan Rusia.

“Ia menyampaikan mesej bahawa Malaysia serius dan komited dalam usaha mengukuh serta meningkatkan hubungan dua halanya bersama Rusia dalam semua bidang terutama kerjasama strategik dan hubungan sesama rakyat,” katanya.

Cheong berkata Malaysia sentiasa menghargai hubungan dengan Rusia yang dibina atas pendekatan pragmatik, keterbukaan dan saling menghormati.

Beliau berkata Kerajaan Rusia menyambut baik Lawatan Negara Seri Paduka Baginda dan telah menghulurkan kerjasama serta sokongan sepenuhnya bagi menjayakan persiapan lawatan itu.

Sultan Ibrahim dijadual tiba di Moscow pada Selasa dan akan disambut dalam Istiadat Sambutan Negara di Kremlin pada Rabu sebelum mengadakan pertemuan rasmi bersama Putin serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Presiden Rusia itu.

Seri Paduka Baginda turut dijadual melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Pameran Teknologi dan Inovasi di Tochka Kipeniya.

Pada 8 Ogos, Sultan Ibrahim akan berangkat ke Kazan, bandar kelima terbesar di Rusia, dan berkenan menerima menghadap Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan kedua-dua pihak dijangka membincangkan potensi kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, industri halal serta teknologi pertanian.

Seri Paduka Baginda juga dijadual berangkat ke resepsi yang dihoskan oleh Minnikhanov dan melawat Kilang Helikopter Kazan bagi meninjau operasi pembuatan helikopter awam, pertahanan serta penyelamat.

Rusia merupakan rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dan ke-28 di peringkat global dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion) pada 2024.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah perdagangan Malaysia-Rusia direkodkan sebanyak RM4.13 bilion (USD945.7 juta)- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *