KOTA KINABALU:Kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.
Perdana Menteri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memastikan siasatan dilakukan dengan segera dan menyeluruh.
“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan,” kata beliau berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau tuduhan tanpa bukti, sambil menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara berteraskan undang-undang.
“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” kata Anwar.
Zara Qairina, 13, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Semalam, Mohd Khalid berkata kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya- BERNAMA