KUANTAN: Seorang anggota polis cedera selepas diserang dengan parang oleh seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman di Felda Bukit Kuantan semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika pasukan polis bertindak balas terhadap laporan mengenai seorang lelaki yang mengamuk di kawasan perumahan tersebut.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu, dan jari tangan kiri. “Anggota itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun yang tidak bekerja dan dipercayai mengalami masalah mental. Beberapa senjata tajam turut dirampas di lokasi kejadian. “Suspek dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA untuk pemeriksaan kesihatan mental,“ tambah Yahaya.
Suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. – Bernama