RM2 bilion untuk tebatan banjir Kuching dalam RMK13

KUCHING: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bandar raya Kuching di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan melibatkan perbelanjaan sekitar RM2 bilion. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa projek ini merangkumi tiga pakej utama iaitu pembinaan kanal, jambatan, dan baraj di Sungai Salak.

“RTB ini akan mengeluarkan air menerusi Sungai Salak. Sama seperti di Sungai Sarawak terdapat baraj. Jadi di Sungai Salak nanti akan ada baraj supaya air laut tidak masuk ke dalam dan kita dapat kawal,“ kata Fadillah selepas merasmikan He Medical Clinic di sini.

Tender bagi projek tersebut dijangka dibuka tahun ini, dengan kerja pembinaan bermula pada tahun hadapan. Beliau menekankan bahawa sistem baraj ini akan membantu mengawal aliran air ketika air laut pasang besar.

RMK13 turut memperuntukkan RM20 bilion untuk 103 projek RTB di seluruh negara, termasuk di Sungai Langat, Sungai Buloh, Sungai Golok, dan beberapa lokasi lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *