Kerjasama PPK Beluran dan Nestlin meterai MOU sarang burung walit RM60 juta

PPK BELURAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran dan Nestlin Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi pembekalan dan belian sarang burung walit selama 10 tahun bernilai lebih RM60 juta. Kerjasama ini dijangka menjadikan PPK Beluran sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan utama sarang burung walit di Sabah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hasil sarang burung walit akan dieksport ke China, menunjukkan potensi besar industri ini di negeri itu. “Ini peluang untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan membuka pasaran antarabangsa,“ katanya selepas menyaksikan pertukaran MOU pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025.

PPK Beluran diwakili Pengerusi Jemaah Pengarah Datuk James Ratib, manakala Nestlin Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sia Swee Seng. Selain itu, MOU turut ditandatangani antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi pembangunan tanaman nanas di Sabah dengan pelaburan RM500,000.

Mohamad berkata Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi pengeluar nanas komersial selain Johor. “Kita sasar penanaman berskala besar untuk pasaran domestik dan eksport,“ ujarnya. Kawasan seperti Sinua, Sook, Kota Marudu, dan Beaufort dikenal pasti sesuai untuk projek ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *