Kadar kebolehpasaran graduan PolyCC capai 98.8%

MELAKA: Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus membuktikan keberkesanan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.8 peratus pada 2024.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata kejayaan itu dicapai hasil kolaborasi erat antara PolyCC dan hampir 20,000 industri melalui perlaksanaan program berimpak tinggi seperti Work-Based Learning (pembelajaran berasaskan kerja), Latihan Industri Berstruktur, serta Pensijilan Profesional dan Kompetensi.

“Program pengajian yang ditawarkan di PolyCC akan dipastikan memperoleh akreditasi dan pengiktirafan daripada badan profesional berautoriti seperti MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), MBOT (Lembaga Terknologis Malaysia) serta agensi pensijilan profesional.

“Kejayaan memperoleh akreditasi itu membuktikan bahawa lulusan politeknik dan kolej komuniti mendapat pengiktirafan rasmi daripada pihak kerajaan dalam dan luar negara serta industri yang berkaitan,“ katanya di Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Kali Ke-22 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah.

Anesee turut menekankan usaha melahirkan graduan seimbang dan bercirikan keusahawanan. Sebanyak 119 inkubator keusahawanan berjaya dibangunkan pada tahun ini melibatkan 476 pelajar dengan rekod jualan hampir RM800,000.

“Pelajar didedahkan kepada pelbagai program sepanjang tempoh pengajian termasuk pertandingan kemahiran, keusahawanan, penyelidikan, kesukarelawanan serta aktiviti sukan bagi membentuk keperibadian holistik dan dinamik,“ katanya.

PolyCC kini juga giat menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi luar negara termasuk dari Rusia, Jepun, Korea, Turkiye, China dan Indonesia, bagi memperkukuh kolaborasi akademik dan penyelidikan.

“Langkah itu selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia di samping menjadikan PolyCC institusi TVET unggul di peringkat antarabangsa,“ jelasnya.

Kini, PolyCC mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti dengan hampir 15,000 petugas dan 97,000 pelajar aktif. Di Melaka sahaja, terdapat dua politeknik dan enam kolej komuniti.

“Pada tahun ini, sebanyak 32,087 graduan politeknik dan kolej komuniti diraikan dalam 28 majlis konvokesyen di seluruh negara,“ tambah Anesee. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *